Keris Kampung Santan Tidak Membawa Makna

 

Apabila menonton filem LEMAK KAMPUNG SANTAN, aku mula tertarik dengan babak awal penceritaaannya apabila dua orang kampong diupah untuk mencari keris takhta Kerajaan Balinan. Peguam bagi syarikat artiket yang membangunkan tanah rizab kepada resort lapangan golf 32-lubang telah berusaha mendapatkan keris tersebut yang dijumpai melalui buku-buku hikayat yang diperolehi sebagai rujukan iaitu Buku Sumpahan Puteri Balinan.

Natasha Hudson yang berlakon sebagai Sofia memang memainkan watak sebagai wanita korporat, peguam professional, pemain kayu tiga dengan jayanya. Beliaulah dalang kepada segala kemelut dalam merampas tanah Kampung Santan untuk dijadikan resort lapangan golf bernilai jutaan ringgit. Sofea tahu segala ceruk kelemahan dan sejarah Kampung Balinan yang kini sebahagiannya dikenali sebagai Kampung Santan. Antara senjata penting Kampung Kerajaan Balinan ialah kerisnya.

kr

Ya, keris menjadi simbol kekuasaan. Kita hidup pun di dalam dunia yang dipenuhi dengan simbol-simbol keganasan pihak penjajah dan keraguan. Bermula daripada imej-imej ganas di dinding gua purba yang melukis gambar anak dinosaur hinggalah gambar-gambar yang dimuat turun di internet.

Kita semua makhluk yagn sering dimanipulasi oleh mereka-mereka yang menghasilkan imej-imej statik dan juga imej bergerak.  Objek-objek keganasan; kematian dan pembunuhan, kemusnahan, penggulingan sesebuah kerajaan – kesemuanya ini, melalui persejarahan telah menjadi simbol-simbol seseorang itu dalam mengejar kuasa.

Keris yang menjadi paparan permulaan LEMAK KAMPUNG SANTAN mestilah dijadikan simbol kepada kekuasaan dan penyatuan rakyat bagi mengembalikan KERAJAAN BALINAN. Mungkin apabila zaman bertambah moden, keris tidak menjadi signifikan lagi.  Tombak dan pedang telah digunakan oleh pejuang-pejuang Taiping di China, meriam dijadikan simbol kuasa kepada Gettysburg di Perang Dunia di Amerika, senapang digunakan oleh Saddam Hussein dalam merayakan kemenangannya, 21-das tembakan menjadi tabik hormat kepada ketenteraan moden dalam acara-acara rasmi di Kuala Lumpur.

Malah, pada tahun 2008, perwakilan dari Umno Perlis, Hashim Suboh menyebut dalam ucapan terbukanya: “Datuk Hisham telah mengeluarkan keris nya, menjulang keris nya, mencium keris nya. Kita nak tanya Datuk Hisham, bila dia nak mula guna (keris itu)? [...] Kekerasan mestilah digunakan terhadap pihak-pihak yang tidak mahu patuh kepada kontrak sosial.

Berbalik kepada filem LEMAK KAMPUNG SANTAN arahan, lakonan, tulisan Hans Isaac terbitan Tall Order Pictures juga milik Hans Isaac ini, permulaannya dalam mencari keris takhta Kerajaan Balinan tidak disambung di akhir filem ini. Permulaan dan pengakhiran filem yang ingin membuatkan para penonton lega menonton dan tidak mengikuti konvensyen filem yang biasa.

Apa yang terjadi kepada keris Balinan itu? Raja Balinan timbul di penghujung filem tidak mengendahkan keris lalu terus mencari nasi lemak diraja. Sudah tentu nasi lemak bukanlah simbol takhta dan kuasa dalam kerajaan. Kalau tidak percaya tanyalah Ketua Pemuda Umno (2007), Hishamuddin Hussein yang menjulang keris dan menciumnya semasa Perhimpunan Agung Umno 2007 yang lalu.

Buku Sumpahan Puteri Balinan juga ada menyatakan pantang-larang bagi rakyat Balinan (sebut Kampung Santan) supaya tidak bertelagah dengan sesiapa pun yang akhirnya mendatangkan mudarat. Segala pertelingkahan mestilah diselesaikan dengan perbincangan. Namun, isi kandungan Sumpahan Puteri Balinan juga tidak dinyatakan sepenuhnya dalam filem tersebut memandangkan segala berkenaan dengan penceritaan file mini berasal daripada buku berkenaan. Buku berkenaan menjadi simpanan koleksi rujukan rahsia Sofea dalam mengambil tanah Kampung Santan daripada penduduk kampong.

LEMAK KAMPUNG SANTAN mengisahkan tentang seorang pemuda bandar, Ridzuan (Hans Isaac), yang jatuh cinta dengan seorang gadis kampung yang bernama Tiqa (Neelofa) . Ridzuan merupakan seorang pereka binaan untuk sebuah syarikat pembangunan terkemuka di tanah air yang bertanggungjawab merampas tanah Kampung Santan bagi dibangunkan menjadi resort. Manakala Tiqa pula seorang penjual nasi lemak di kampungnya, Kampung Santan.

Pertemuan pertama mereka berlaku tanpa diduga di Kampung Santan. Tanpa mereka sedari, mereka senang dengan diri masing-masing walaupun hanya pada pertemuan pertama biarpun pada dasarnya mereka adalah dua insan yang berbeza. Sepanjang perkenalan mereka Ridzuan cuba menyembunyikan kenyataan yang perit ini demi menjaga hati Tiqa dan penduduk lain kerana dia sudah mulai jatuh hati pada gadis itu.

LEMAK KAMPUNG SANTAN akan mula ditayangkan di pawagam pada 1 Syawal tahun ini dan pihak produksi telah berkeputusan untuk tidak menyerahkan kepada Astro First bagi tayangan televisyen kerana mahu menggalakkan orang ramai menontonnya di panggung.